MENU

PAHANG SERIUS TANGANI KORONAVIRUS

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 31 Januari 2020: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Pejabat Kesihatan Kuantan, Pelancongan Pahang dan Persatuan Perhotelan bekerjasama melakukan usaha bagi mengekang penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV) atau Koronavirus terutamanya di pintu masuk antarabangsa ke negeri ini dan kawasan-kawasan tumpuan pelancongan.

Yang Dipertua MPK, YH. Dato' Hamdan Hussin berkata, pihaknya bersama beberapa agensi lain giat melakukan aktiviti saringan kesihatan sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menangani jangkitan Koronavirus.

"Kita memberi fokus dan tumpuan saringan kesihatan kepada pelancong-pelancong asing khususnya dari negara China di dua lokasi utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dan Pelabuhan Kuantan.

"Selain itu, kita juga memberi tumpuan kepada Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan lokasi tumpuan pelancongan seperti jeti di Tanjung Gemuk yang merupakan laluan masuk utama ke Pulau Tioman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar Sesi Taklimat Penularan dan Kawalan Novel Koronavirus di Hotel De Rhu, Kuantan, petang tadi.

Hadir sama Pengurus Besar Pelancongan Pahang, YH. Dato' Ishak Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato Suhaimi Mohd Yunus dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan, Dr. Fatimah A. Majid.

Sementara itu, Dr. Fatimah berkata, pihak kesihatan sentiasa bersedia untuk mendepani situasi terkini bagi memastikan penularan wabak itu dapat dikekang secara menyeluruh.

"Sehingga kini, pelancong antarabangsa yang masuk ke Pahang adalah bebas daripada Koronavirus dan pihak kesihatan sudah bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Dalam perkembangan sama, YH. Dato' Ishak berkata, penularan wabak itu turut memberi impak kepada sektor pelancongan di negeri ini sama ada secara langsung atau pun tidak.

"Kesan terhadap sektor pelancongan pasti ada. Ini kerana seramai 1 juta daripada 13 juta pelancong yang datang ke negeri Pahang ialah pelancong dari negara China," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kejadian dan pengalaman sebelum ini, sektor pelancongan memang menerima impak namun pihaknya optimis menyasarkan kenaikan jumlah pelancong ke negeri ini seramai 15 juta bagi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak panik dengan maklumat yang tersebar dan tidak tepat. Orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan betul setiap hari.

Sehingga kini sebanyak lapan kes diterima membabitkan koronavirus di negara ini dan kesemua mereka adalah terdiri daripada warganegara China.

Sebanyak tiga klinik kesihatan di daerah Kuantan yang beroperasi sehingga jam 11.30 malam iaitu Klinik Kesihatan Bukit Sekilau, Klinik Kesihatan Paya Besar dan Klinik Kesihatan Jaya Gading.

Orang ramai boleh mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya mengalami simptom-simptom Koronavirus di klinik berkenaan.

#KerajaanNegeriPahang

#MajuTerusPahang
#Pahang1st