MENU

Kuantan (11.02.2020) - Operasi bersepadu gempur aedes dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya denggi. Operasi ini diketuai oleh YM Tengku Dato' Nor Asmaliza Ku Lah selaku Pegawai Daerah Kuantan dan dijalankan selama empat jam bermula pada 8.35 pagi sehingga 11.45 pagi di empat lorong di kawasan Sungai Isap iaitu 77, 78, 79 dan 80. Sebanyak 86 buah rumah yang dapat diperiksa daripada 256 buah dan didapati 11 buah rumah yang positif pembiakan aedes. Sebanyak 161 buah rumah yang tertutup dan selebihnya merupakan rumah yang tidak berpenghuni.

100 orang anggota yang terlibat antaranya 30 orang daripada Majlis Perbandaran Kuantan(MPK), 12 orang daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan(SW Corp), 8 orang daripada Unified Enforcement (U.E), 20 orang daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, 20 orang daripada Alam Flora dan selebihnya adalah ahli Majlis Komuniti Pengurusan Kampung(MPKK).

Pasukan U.E telah menemui tempat pembiakan aedes di taman permainan dan padang terutamanya di dalam garaj dan stor yang terbiar. Pasukan ini juga akan mengambil tindakan selaras dengan pihak MPK iaitu pada 12 Februari 2020. S.W Corp telah mengeluarkan 4 notis pemberitahuan kesalahan atas kesalahan tidak mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula.

Keseluruhan notis yang dikeluarkan oleh MPK pula sebanyak 21 keping. Sebanyak 14 keping di bawah seksyen 46(1)(a) Akta 133 atas kesalahan meletak pasu di atas jalan awam dan meletakkan halangan di lorong belakang. Selain itu, 6 keping notis di bawah seksyen 74 Akta 171(6) atas kesalahan tidak menebas semak samun di kawasan rumah dan sekeping notis di bawah seksyen 46(1) Akta 133(1) atas kesalahan meletakkan kenderaan buruk di jalan awam. Pihak kesihatan Kuantan mengeluatkan 7 keping notis di bawah seksyen 13(2) yang bernilai RM3500.

Pahang merupakan negeri yang mencatatkan bilangan kes denggi yang paling tinggi dan didapati peningkatan kes denggi sebanyak 80% berbanding tahun lepas di daerah Kuantan. Terkini, 22 kes denggi telah dilaporkan dari pihak Kesihatan Kuantan. Dengan tindakan bersepadu penguatkuasaan dan member notis kepada mereka yang cuai diharapkan agar kes demam denggi ini dapat diatasi dengan jayanya.