Bahagian Pesuruhjaya Bangunan
Latarbelakang
Bagi bangunan atau tanah yang akan dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata, wujud bahagian yang dinamakan harta bersama yang boleh digunakan oleh semua penghuni. Bangunan dan harta bersama ini perlu disenggara dan diurus dengan sempurna. Ini memerlukan pihak yang diberi kuasa dan tanggungjawab mengendalikannya dan dana untuk membiayai kos penyenggaraan dan pengurusan ini.
Bagi memastikan tanggungjawab penyenggaraan dan pengurusan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan serta untuk menjaga kepentingan semua yang terlibat secara adil, Kerajaan telah menyediakan Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318), Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Matlamat Dan Objektif
- Memperkemaskan kaedah mengawal selia penyenggaraan dan pengurusan dengan berkesan bagi semua jenis bangunan bertingkat dan bangunan yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata.
- Menyelesaikan urusan-urusan yang berkaitan serta mewujudkan kesedaran diantara pembeli / pemilik / pemaju / Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body-JMB) / Perbadanan Pengurusan (Management Corporation-MC) berkenaan isu penyenggaraan dan pengurusan bangunan selaras kehendak Akta 663.
- Memperkemas dan meningkatkan aspek penguatkuasaan serta pelaksanaan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663).
Fungsi
- Menyelia inventori kawasan pemajuan yang tertakluk dibawah Akta 663 dan Akta 318
- Memastikan Badan Pengurusan Bersama (JMB) diwujudkan di setiap kawasan pemajuan
- Menguruskan aduan-aduan dan masalah berkaitan pengurusan dan penyenggaraan bangunan bertingkat dan bangunan yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata
- Menguatkuasakan pelaksanaan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) - (Building And Common Property Maintenance And Management Act) 2007 (Act 663).
Piagam Pelanggan
- Memastikan Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) diwujudkan di setiap kawasan pemajuan dalam tempoh 12 bulan daripada Sijil Layak Menduduki dikeluarkan.
- Berjanji akan menyelesaikan semua aduan dan masalah berkaitan pengurusan dan penyenggaraan bangunan bertingkat dan bangunan yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata.
- Mempertingkatkan kerjasama bistari diantara agensi serta responsif terhadap keperluan pelanggan.
- Menguatkuasakan pelaksanaan Akta Bangunan Dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) dalam tempoh yang ditetapkan.
Visi
Menjadikan Badan Pengurusan Bersama (JMB) / Perbadanan Pengurusan (MC) yang sempurna, berdaya maju, harmoni dengan alam sekitar ke arah mewujudkan komuniti yang sejahtera.
Misi
Ke arah kecemerlangan Badan Pengurusan Bersama (JMB) / Perbadanan Pengurusan (MC) berkualiti, berinovatif, responsive serta komited kepada pembangunan lestari dalam mewujudkan komuniti sejahtera.
Moto
Ke arah kualiti dan kecemerlangan pengurusan bangunan berstrata